Ibadat korban tersirat seribu satu pengajaran, pererat kasih sayang sesama masyarakat
HARI Aidiladha adalah satu hari kebesaran Islam dan juga hari perayaan bagi umat Islam. Sesungguhnya Allah menganugerahkan kepada umat Islam dua hari untuk mereka makan dan minum serta bergembira iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Oleh kerana itu, umat Islam diharamkan berpuasa pada kedua-dua hari perayaan besar itu. Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan dan kejayaan selepas berpuasa sebulan penuh Ramadan sementara Aidiladha pula diraikan sebagai simbol salah satu syiar Islam teragung yang cukup sinonim dengannya iaitu ibadat haji.
Aidiladha yang juga dikenali sebagai hari raya korban adalah kerana hari itu adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim di dalam menunaikan perintah Allah dan juga kesabaran anaknya Nabi Ismail memenuhi perintah Ilahi seperti yang termaktub lewat firman-Nya yang bermaksud: Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya), Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Di dalam melaksanakan perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menyerahkan diri mereka sepenuhnya kepada Allah di dalam menunaikan perintah Ilahi sehingga dengan kurniaan Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Allah mengirimkan seekor kibas untuk menggantikan Nabi Ismail.
Dalam hal ini, Allah merakamkan kisah berkenaan melalui firman-Nya yang bermaksud: Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!. Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Surah al-Saaffaat, ayat 104- 108).
Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya haji kerana diperintahkan juga di dalam bulan mulia ini, umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan ibadat haji ke Baitullah al-Haram. Ibadat haji yang dilaksanakan oleh setiap jemaah haji pada setiap tahun membawa bersamanya seribu satu unsur pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat.
Alangkah baiknya jika setiap jemaah haji dan juga umat Islam seluruhnya dapat menghayati kesan-kesan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik ibadat haji itu yang bukan hanya setakat kesan fizikal dari segi ibadah saja, malahan ibadah haji mendidik betapa peri pentingnya pengorbanan untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Untuk mendapat keredaan Ilahi dan pengampunan-Nya, ia bukanlah satu perkara yang cukup mudah dan murah. Sebaliknya ia menuntut satu pengorbanan besar dan juga iltizam tinggi di mana ganjaran besar yang disediakan Allah bagi haji yang mabrur ialah pengampunan dosa seumpama bayi yang baru lahir dan suci serta bersih dari nodaan dosa.
Justeru, untuk meraih peluang keemasan dan ganjaran besar itu, maka tidak dapat tidak ia memerlukan satu pengorbanan yang jitu, kesabaran yang nekad dan juga iltizam yang tinggi.
Perlu ditegaskan bahawa hari raya dalam bulan Zulhijah bukan hanya pada 10 hari bulan, bahkan ia berlanjutan dari hari ke-11, 12 dan ke-13 yang juga lebih dikenali sebagai hari Tasyrik. Umat Islam juga diharamkan berpuasa pada hari Tasyrik itu.
Seterusnya, umat Islam disunatkan untuk bertakbir, bertahmid dan bertasbih mulai dari solat Subuh hari Arafah sehingga solat Asar hari ke 13 Zulhijjah. Ia dilakukan selepas setiap solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat.
Umat Islam dianjurkan agar memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah). (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Selain itu, salah satu ciri keistimewaan yang cukup signifikan berkenaan Aidiladha dan juga hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ini kerana ibadat korban hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula dari waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Ia juga adalah satu cara untuk kita mendekatkan diri kita kepada Allah. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan kepada takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (Surah al-Hajj, ayat 37)
Di samping itu, ibadat korban ini memberikan peluang kepada setiap Muslim untuk menyucikan dirinya daripada sebarang penyakit hati dan juga segala dosa yang mungkin melekat di dasar jiwa. Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Tidaklah anak Adam mengerjakan sesuatu pekerjaan pada hari korban yang lebih dicintai Allah dari mengalirkan darah haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan akan diterima Allah sebelum jatuh di tempat sembelihannya. Maka sucikanlah diri kamu dengan menyembelih haiwan korban. (Hadis riwayat Ibnu Majah & Tirmizi).
Dari sudut lain, ibadat korban ini adalah satu mekanisme yang konkrit untuk mempereratkan lagi jalinan kemesraan dan kasih sayang sesama masyarakat. Mereka berkemampuan melakukan ibadat korban ini akan mengagih-agihkan sebahagian daging korban kepada golongan yang kurang bernasib baik terutama fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan seumpamanya.
Semua ini adalah satu manifestasi dari makna kesyukuran ke hadrat Allah di atas segala kurniaan nikmat yang tiada terhitung kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Surah al-Hajj, ayat 36).
Selanjutnya, sesiapa yang menjalankan ibadat korban ini disunatkan agar menyembelih binatang korban itu sendiri dan jika tidak mampu, dia hendaklah menyaksikan upacara korban itu terutama apabila darah pertama mula mengalir ke bumi kerana pada waktu itulah Allah akan mengampuni dosa-dosa yang lalu daripada orang yang melakukan korban itu.
Dalam hal ini, Rasulullah menyuruh puterinya Saidatina Fatimah untuk menyaksikan sendiri upacara ibadat korban yang dijalankan atas namanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Bangunlah dan pergilah saksikan ibadat korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan darah pertama yang mengalir akan diampunkan dosa kamu yang lepas. Fatimah bertanya kembali: Wahai Rasulullah! Apakah ia khusus kepada ahli keluarga atau umum kepada umat Islam? Jawab Baginda: Bahkan kepada seluruh umat Islam. (Hadis riwayat Al-Bazzar & Ibnu Hibban)
Demikianlah hikmah ibadat korban yang menyerikan lagi suasana keceriaan Aidiladha yang menyaksikan satu kesedaran atau keinsafan yang cukup tinggi di kalangan umat Islam untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat.
Mudah-mudahan ibadat korban yang dilakukan sepanjang Hari Aidiladha diterima Allah. Amin.
sumber : akhbar Berita harian
No comments:
Post a Comment