Wednesday, 23 November 2011

Bila Rasa Lemah Menjelma

Senario A – Engkau semua jangan buat bising ok ! Aku tengah down ni, nanti aku campak semua barang-barang atas meja ni!

Senario B – Aduuuuh, sedihnya rasa ! Sampai hati dia menolak lamaranku. Aku tengah down betul ni. Kau pergilah jauh-jauh sebab aku memang perlukan ketenangan sekarang ni.

Senario C – Tak mengapalah, ini urusan peribadi. Aku dah belajar macam nak mati tapi keputusanexam masih tak cukup makan. Biarlah aku menyendiri sebab aku tengah down ni.

Sememangnya rasa lemah atau rasa 'down' atau rasa 'futur' itu kadangkala menyapa diri. Setiap yang bernama insan pasti akan berhadapan dengan ujian di dalam hidupnya. Kadang-kala ujian dan diikuti dengan ujian yang datang bertimpa-timpa yang mungkin menyebabkan kita sukar untuk bangkit kembali.

Setelah ujian datang :

Ujian ini boleh membuatkan kita semakin kuat daripada sebelumnya. Kadang-kala kita boleh pintas bangkit semula ke kekuatan yang sama. Kadang-kala ujian ini boleh membuatkan kita rebah tersungkur. Kadang-kadang dengan satu ujian sahaja kita boleh hilang arah dan boleh membuat keputusan yang luar biasa

Andainya kita bangkit semula, maka syukur kepadaNya kerana kita berjaya melepasi ujian ini dan bakal menyaksikan bahawa kita akan menjadi insan yang lebih tabah dan lebih berjaya di masa depan.

Namun jika gagal bangkit, kita bakal melalui jalan buntu mahupun membuat laluan baru yang penuh berliku dan tidak mustahil ianya mungkin bertentangan dengan arus perjalanan yang pernah kita lalui sebelum ini.

Adakah sinar mentari di hari esok? Bagaimana kita akan menghadapinya?

Kita harus menghadapi setiap ujian yang ditempuhi dengan bersangka baik kepada Allah swt. Sudah pasti di sana ada hikmah dan kebaikan di dalam setiap perkara yang berlaku yang mungkin tidak kita ketahui maksudnya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." [Surah Al-Baqarah, 2: 216]

Seterusnya kita boleh menghadapi ujian ini dengan:

Beristighfar dan berdoa memohon pertolongan daripada Ilahi. Bermuhasabah diri, ujian ini mungkin juga disebabkan kesilapan atau dosa-dosa kita sendiri. Menyuarakan rasa hati kepada ke dua orang tua kita atau 'orang lama' atau tokoh yang kita kenali.

Berbincang dan meluahkan perasaan dengan pendidik atau 'murabbi' kita. Berkongsi permasalahan dengan teman atau kenalan yang rapat. Jangan ikutkan sangat perasaan downdan emosi diri. Menyebukkan diri dengan kegiatan dan aktiviti luar yang sihat

Masih bersedih ?

Ambillah sedikit masa di sebelah keheningan malam untuk bertadabbur dengan ayat-ayat Allah swt sebelum tidur. Bersolat taubat dan menginsafi kesalahan diri. Masuk tidur lebih awal di dalam keadaan berwudhuk. Bangun di awal pagi untuk mendapatkan ketenangan bermunajat kepada Ilahi. Bersolat tahajjud sambil menyatakan rasa atau hasrat hati kepada Ilahi di dalam sujud yang terakhir dengan rasa penuh rendah diri dan berharap kepadaNya.

Ingatlah akan janji Allah swt di dalam al Quran yang bermaksud,

" ...Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." ( Surah At-Talaq, 65: 2-3)

Masih adakah harapan untuk bangkit kembali?

Bukankah semua ujian ini datangnya dari Allah s.w.t? Ada kemungkinan besar bahawa Allah s.w.t menyimpan sesuatu yang lebih baik untuk kita yang tidak kita ketahui apa yang bakal berlaku selepas ini. Jadi, kepada siapakah lagi yang harus kita harapkan jika tidak dikembalikan kepadaNya kerana Dia adalah yang Maha Berkuasa dan Penyelesai kepada semua masalah serta ujian-ujian kehidupan.

Jom ! Mari kita bangkit agar terus jadi kuat....!





No comments:

Post a Comment

My Hamster