JOHOR BAHRU: “Semua itu tidak benar! Anak saya masih meneruskan pengajian di tahun akhir dalam bidang perubatan,” kata Sabariah Hassan, 52, ibu pelajar genius, Nur Amalina Che Bakri.
Sabariah berkata demikian ketika mengulas dakwaan anaknya gagal dalam pengajian kerana mengamalkan gaya hidup bebas seperti tersiar dalam sebuah blog dan kini tersebar luas di Internet termasuk menerusi laman sosial facebook.
Menurut Sabariah, Nur Amalina, 23, yang menuntut di Universiti Edinburgh, Scotland, United Kingdom (UK) baru menamatkan pengajian dalam bidang farmakologi dan kini meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di tahun akhir.
“Nur Amalina sedang menjalani latihan praktikal di sebuah pusat perubatan di sana (UK) dan dijangka menamatkan pengajian pada Mei 2013 sebelum kembali ke Malaysia.
“Malah, dia kini bertungkus-lumus menyiapkan sebuah buku perubatan yang akan dijadikan rujukan kepada pensyarah, pelajar dan pengamal perbuatan. Buku itu dalam proses akhir untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kata ibu Amalina lagi :
“Pakaian yang dipakai Amalina dibeli saya sendiri, manakala gambar terbabit dirakam ketika kami bersama melancong ke Paris untuk bercuti pada Ogos 2009.
“Sebenarnya, gambar yang disiarkan itu gambar lama yang bersifat peribadi.
Saya mengenali setiap rakannya yang turut berada dalam gambar itu,” katanya.
Sabariah berkata, Amalina ada menghubunginya melalui panggilan video ‘Skype’ kelmarin berhubung penyebaran gambarnya yang dituduh seksi itu dalam laman blog.
“Dia ketawa ketika menceritakan perkara itu kerana sudah lali dengan tohmahan sebegini. Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku. Mungkin ada orang cemburu dengan kejayaan anak saya selama ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment