"orang yang paling baik di kalangan kamu orang yang banyak melakukan kebaikan pada keluarganya, dan aku paling baik pada keluargaku" HADITH
Sedekah yang kita tahu ialah mendermakan harta kita. Atau lebih khusus kita nampak perkataan sedekah hanya berkait rapat dengan wang ringgit, sedekah tabung masjid, sedekah pada anak yatim dan sebagainya.
Tetapi Baginda sangat banyak menyebut tentang jenis-jenis sedekah. Antaranya di dalam hadith ke 26 dalam kitab hadith 40 disebutkan oleh Baginda sebahagian dari jenis-jenis sedekah. Antaranya :
1. Mendamaikan saudara yang berselisih faham
2. Menolong saudara meringankan beban orang bermusafir
3. Menolong saudara mengangkat beg atau bebanan yang berat
4. Kata-kata yang baik
5. Langkah ke Masjid
6. Alih duri dari jalan (elakkan mudharat)
Banyaknya! Itu baru dari satu sumber hadith. Sebenarnya banyak lagi. Kita pun pernah dengar “senyumanmu pada saudaramu satu sedekah” juga termasuk dalam ciri sedekah.
Pendek kata, kita sedang bersedekah dan mendapat pahala dari Allah. Betapa pemurahnya Allah, walaupun kita tak tahu jenis sedekah (sebab tak belajar), Allah pasti memberikan balasan yang setimpal. Lebih-lebih lagi orang yang tahu apa yang dilakukan adalah dari bab sedekah, mestilah dia lakukan dengan bersungguh-sungguh.
Teringat pada kisah pada zaman sahabat nabi, orang-orang miskin mempersoalkan kepada Rasulullah tentang kelebihan orang yang berharta. Ini kerana orang berharta mereka beriman kepada Allah, dalam pada masa yang sama mereka dapat dermakan harta yang mereka miliki. Berbeza dari orang-orang miskin, beriman jua kepada Allah tetapi tidak mempunyai apa-apa untuk didermakan. Lalu Baginda mengajar lafaz tasbih (SUBHANALLAH) adalah sedekah, tahmid (ALHAMDULILLAH) itu sedekah, takbir (ALLAHUAKBAR) itu sedekah, tahlil (LAILAHAILLAH) itu sedekah. Jadi, itu sudah memadai dan dapat dilakukan oleh orang-orang yang tidak berharta.
Begitulah jua besarnya cabang bersedekah.
Cuma, disebut oleh Mahyuddin Misto dan Mustafa Bugho di dalam kitab AlWafi bahawa lebih afdal orang yang mempunyai harta lalu mendermakan harta tersebut berbanding orang yang bersedekah dengan cara yang selain mendermakan harta bendanya. Ini adalah soal kelebihan kepada orang-orang yang dikurniakan dengan kemewahan dan harta yang banyak tetapi tidak pernah lupa kepada segala nikmat yang Allah kurniakan.
No comments:
Post a Comment